PUTRAJAYA 21 Sept. – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hari ini dipilih sebagai Ikon Membaca Kebangsaan 2014 iaitu penjawat awam pertama dianugerahkan gelaran itu.
Ali dipilih sebagai ikon membaca kebangsaan yang keempat selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad (2012), Datuk Michelle Yeoh (2010) dan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (2009).
Ketika ditemui, beliau menyifatkan anugerah itu sebagai satu kepercayaan dan amanah yang diberikan kepadanya.
Katanya, biarpun sibuk menjalankan tugas seharian, namun setiap masa terluang pasti akan diisi dengan membaca buku.
“Saya suka membaca. Selain membaca buku ilmiah untuk mendapatkan idea-idea baharu, saya suka membaca buku-buku yang menghiburkan hati seperti kartun dan fiksyen bagi melapangkan fikiran,” katanya.
Terdahulu beliau melancarkan Program Take A Break Read@Putrajaya di Dataran Putra di sini.
Yang hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.